Polis tahan dua lelaki terlibat kes ragut
KULAI – Polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes ragut seorang wanita di Taman Bahagia, Senai, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan mereka di dua lokasi berlainan.
“Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 32 hingga 45 tahun ditahan hasil serbuan di Senai dan Kulai.
“Kita menerima laporan berhubung kes berkenaan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 22 tahun pada pukul 6.55 petang Khamis.
“Mangsa melaporkan dia didatangi seorang lelaki bermotosikal ketika meletakkan kenderaannya di tepi Jalan Bakti, taman tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dalam serbuan itu polis merampas sebuah telefon bimbit IPhone 15 Pro milik mangsa, 24 telefon bimbit pelbagai jenama, 29 utas jam tangan, satu batang kunci, sebuah motosikal Honda RS 150R dan sebuah helmet warna kelabu.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat membeli pelbagai jenis telefon bimbit daripada rakan suspek,” katanya.
Menurut Seng Lee, tangkapan keatas kedua-dua suspek dipercayai telah menyelesaikan kes ragut di daerah ini.
Katanya siasatan masih diteruskan bagi menyiasat penglibafan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah ini.
Hasil semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah, katanya
“Ujian saringan awal urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
“Suspek direman tujuh hari sehingga hari ini dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.- MalaysiaGazette
Tinggalkan Balasan