Keputusan sama ada harimau ditangkap bunuh dua lelaki diketahui tiga minggu lagi
KOTA BHARU – Keputusan analisis siasatan berhubung harimau yang ditangkap sebelum ini, sama ada terlibat dalam pembunuhan dua lelaki baru-baru ini, dijangka diketahui dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, keputusan itu akan diperoleh setelah melalui beberapa proses pemeriksaan terhadap harimau tersebut, termasuk pengambilan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dari najis haiwan.
“Selepas harimau ini berjaya ditangkap, pihak kami akan melaksanakan beberapa proses seperti pemeriksaan kesihatan, ukuran morfologi, pemeriksaan gigi, dan pengambilan sampel DNA dari najis.
“Kami menjangkakan keputusan analisis dapat diketahui dalam dua hingga tiga minggu lagi untuk menentukan sama ada harimau ini adalah haiwan yang membaham dua lelaki sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Artikel berkaitan: Harimau baham dua mangsa masuk perangkap
Perhilitan Perak, Kelantan kerjasama tangkap harimau baham 2 mangsa
Lelaki Myanmar maut dibaham harimau di Jeli
Isteri lihat suami diheret harimau ke dalam semak
Beliau berkata harimau tersebut kini ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak, untuk tindakan lanjut dan berada dalam keadaan sihat.
Pada 19 Okt lepas, seekor harimau belang telah berjaya ditangkap menggunakan perangkap yang dipasang oleh pihak PERHILITAN di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat Batu Melintang, Jeli.
Pemasangan perangkap tersebut dilakukan susulan penemuan dua lelaki yang disyaki dibaham harimau di dua lokasi berbeza pada 15 dan 16 Okt lepas.
Kejadian pertama mengakibatkan seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, meninggal dunia diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik-Jeli di Bersia, dekat Gerik, Perak.
Keesokan harinya, seorang lelaki warga Myanmar pula ditemukan maut dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Gerik-Jeli, dekat Batu Melintang, Jeli, Kelantan. – BERNAMA
Tinggalkan Balasan